Apakah Semua yang Nabi Tinggalkan Harus Ditinggalkan? Ini Penjelasan Ulama

TINGGALKAN APA YANG NABI LARANG, BUKAN SEMUA YANG NABI TINGGALKAN:  MEMBETULKAN KEKELIRUAN DALAM MEMAHAMI SUNNAH

Baru-baru ini terdapat pihak yang mengemukakan suatu kefahaman agama dengan mengatakan bahawa “kita hendaklah meninggalkan apa yang Nabi ﷺ tinggalkan.” Kenyataan ini seolah-olah dijadikan suatu kaedah umum bahawa setiap perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ mestilah turut ditinggalkan oleh umat Islam, dan sesiapa yang melakukannya dianggap telah menyalahi Sunnah atau melakukan bidaah yang sesat.

Sebenarnya, kefahaman sedemikian tidak tepat jika dijadikan kaedah umum dalam menentukan hukum agama. Hal ini kerana meninggalkan apa yang dilarang oleh Rasulullah ﷺ tidak sama dengan meninggalkan segala perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda.

Perbezaan antara kedua-duanya bukan sekadar permainan bahasa, tetapi merupakan suatu persoalan penting yang telah dibahaskan oleh para ulama dalam disiplin Uṣūl al-Fiqh.

Jika benar setiap perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah ﷺ wajib ditinggalkan oleh umat Islam, sudah tentu Baginda sendiri akan melarang para sahabat daripada melakukan sesuatu amalan yang tidak pernah Baginda lakukan atau ajarkan secara khusus, supaya tidak diulangi kesalahan tersebut oleh sahabat lain umat yang datang kemudian hari.

Namun, sejarah Sunnah memperlihatkan perkara yang sebaliknya.

Terdapat para sahabat yang melakukan amalan tertentu atas inisiatif sendiri, termasuk dalam solat, tanpa terlebih dahulu menerima pengajaran khusus tentang bentuk amalan tersebut daripada Rasulullah ﷺ. Apabila perkara itu diketahui oleh Baginda, bukan sahaja Baginda tidak melarangnya, bahkan dalam beberapa peristiwa Baginda memuji dan menyatakan kelebihannya.

Antaranya ialah seorang sahabat yang membaca Surah al-Ikhlas secara berulang dalam solatnya, seorang sahabat yang mengucapkan lafaz pujian tambahan ketika iktidal, serta Sayyidina Bilal RA yang membiasakan dirinya menunaikan solat sunat khusus selepas berwuduk (tahiyyatul wudhu').

Persoalannya, mengapakah Rasulullah ﷺ tidak melarang perbuatan-perbuatan tersebut sekiranya melakukan sesuatu yang Baginda tidak lakukan merupakan suatu kesalahan agama? 

Jika melakukan sesuatu yang tidak dilakukan Rasulullah SAW adalah perkara salah dalam syariat, maka Rasulullah SAW sebagai pembawa syariat wajib melarang perbuatan tersebut, tapi mengapa Baginda mengambil pendirian dan prinsip untuk tidak melarangnya? 

Di sinilah pentingnya kita memahami perbezaan antara al-nahy (النهي), iaitu larangan Rasulullah ﷺ, dengan al-tark (الترك), iaitu sesuatu yang ditinggalkan atau tidak dilakukan oleh Baginda.

1. Prinsip Uṣūl al-Fiqh: Al-Tark Tidak Semestinya Menunjukkan Pengharaman

Dalam disiplin Uṣūl al-Fiqh, persoalan tentang perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dibahaskan di bawah konsep al-Tark al-Nabawī (الترك النبوي).

Antara rumusan kaedah yang digunakan dalam perbahasan ini ialah:

التَّرْكُ لَا يَقْتَضِي التَّحْرِيمَ

“Sesuatu yang ditinggalkan oleh Nabi tidak dengan sendirinya menunjukkan pengharamannya.”

Begitu juga ungkapan:

التَّرْكُ بِمُجَرَّدِهِ لَا يَدُلُّ عَلَى التَّحْرِيمِ

“Perbuatan meninggalkan sesuatu, dengan semata-mata peninggalan itu, tidak menunjukkan hukum haram.”

Maksudnya, apabila Rasulullah ﷺ tidak melakukan sesuatu perkara, ketiadaan perbuatan tersebut sahaja belum mencukupi untuk menetapkan bahawa perkara berkenaan haram, makruh atau bidaah yang sesat.

Hal ini kerana terdapat perbezaan yang besar antara:

- Sesuatu yang Rasulullah ﷺ tidak lakukan.

dan

- Sesuatu yang Rasulullah ﷺ melarang umatnya daripada melakukannya.

Perkara pertama ialah ketiadaan perbuatan, sedangkan perkara kedua merupakan suatu larangan yang mempunyai petunjuk hukum.

Walau bagaimanapun, prinsip ini perlu difahami dengan cermat. Al-Tark tidak semestinya menunjukkan pengharaman, tetapi dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi petunjuk hukum apabila disertai qarinah, seperti penjelasan Baginda, sebab tertentu, atau sifat ibadah yang telah ditetapkan secara khusus oleh syariat.

Oleh itu, tidak tepat untuk mengatakan bahawa semua perkara yang Nabi tinggalkan pasti harus dilakukan. Yang lebih tepat ialah semata-mata Nabi tidak melakukan sesuatu belum menjadi dalil yang mencukupi untuk mengharamkannya.

2. Al-Quran Memerintahkan Kita Meninggalkan Larangan Rasulullah ﷺ

Allah SWT berfirman:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

Maksudnya:

“Dan apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah ia, dan apa sahaja yang dilarangnya daripada kamu, maka jauhilah ia.”

(Surah al-Hasyr: 7)

Perhatikan bahawa Allah SWT menggunakan perkataan:

وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

“Dan apa yang dilarangnya daripada kamu, maka jauhilah ia.”

Allah SWT tidak menggunakan ungkapan yang bermaksud, “Apa sahaja yang Rasulullah tidak lakukan, maka janganlah kamu melakukannya.”

Sudah tentu ayat ini turut mewajibkan umat Islam menerima segala ketetapan Rasulullah ﷺ, termasuk petunjuk Sunnah yang menunjukkan sesuatu larangan atau ketidakharusan. Namun, ayat ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menyamakan setiap peninggalan Baginda dengan suatu larangan.

Perkara yang sama dijelaskan dalam hadis sahih Rasulullah ﷺ:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:

“Apabila aku melarang kamu daripada sesuatu, maka jauhilah ia. Dan apabila aku memerintahkan kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah menurut kemampuan kamu.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sekali lagi, Rasulullah ﷺ mengaitkan kewajipan menjauhi sesuatu dengan larangan Baginda.

Baginda tidak bersabda bahawa segala perkara yang tidak pernah Baginda lakukan wajib ditinggalkan.

Namun, ini bukan bermaksud bahawa larangan hanya dapat diketahui melalui lafaz larangan yang jelas. Dalam ilmu fiqh, sesuatu larangan juga boleh difahami melalui dalil dan petunjuk syarak yang lain.

Apa yang ingin ditegaskan ialah ketiadaan sesuatu perbuatan daripada amalan Rasulullah ﷺ tidak boleh secara automatik disamakan dengan larangan Baginda.

3. Para Sahabat Sendiri Melakukan Amalan yang Tidak Diajarkan Secara Khusus oleh Rasulullah ﷺ

Antara bukti penting bagi memahami persoalan ini ialah peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika Rasulullah ﷺ masih hidup.

Peristiwa tersebut menunjukkan bahawa para sahabat memahami Sunnah dengan kaedah bahawa setiap perkara yang belum dilakukan oleh Rasulullah ﷺ tidak secara otomatik ia menjadi sesuatu yang mesti ditinggalkan.

Pertama: Sahabat yang Sentiasa Membaca Surah al-Ikhlas dalam Solat

Dalam hadith sahih, diriwayatkan bahawa seorang sahabat yang menjadi imam di Masjid Quba mempunyai kebiasaan membaca Surah al-Ikhlas dalam setiap rakaat, kemudian membaca surah yang lain.

Apabila para sahabat mempersoalkan kebiasaan tersebut, beliau tetap meneruskannya kerana kecintaannya terhadap Surah al-Ikhlas.

Perkara itu akhirnya disampaikan kepada Rasulullah ﷺ.

Baginda bertanya tentang sebab beliau melakukannya, lalu sahabat tersebut menjelaskan bahawa beliau mencintai surah berkenaan.

Rasulullah ﷺ bersabda:

حُبُّكَ إِيَّاهَا أَدْخَلَكَ الْجَنَّةَ

“Kecintaanmu terhadap surah itu memasukkanmu ke dalam syurga.”

(Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan)

Perhatikan bahawa sahabat tersebut telah membiasakan suatu susunan bacaan dalam solat atas inisiatifnya sendiri.

Rasulullah ﷺ tidak menegurnya dengan mengatakan:

“Kenapa kamu melakukan sesuatu yang aku tidak lakukan?”

Sebaliknya, Baginda mengiktiraf amalan tersebut.

Ini menunjukkan bahawa tidak setiap bentuk amalan yang tidak diajarkan secara khusus terlebih dahulu oleh Rasulullah ﷺ dianggap sebagai penyelewengan agama.

Kedua: Sahabat yang Menambah Lafaz Pujian Ketika Iktidal

Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan daripada Sayyidina Rifa‘ah bin Rafi‘ RA, seorang sahabat mengucapkan ketika iktidal:

رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

Maksudnya:

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian, pujian yang banyak, baik lagi diberkati.”

Selepas selesai solat, Rasulullah ﷺ bertanya siapakah yang mengucapkan lafaz tersebut.

Apabila sahabat berkenaan mengakuinya, Baginda bersabda bahawa Baginda melihat lebih tiga puluh malaikat berlumba-lumba untuk mencatat pujian tersebut.

(Riwayat al-Bukhari, no. 799)

Peristiwa ini amat penting kerana lafaz tersebut diucapkan dalam solat, iaitu suatu ibadah yang mempunyai tatacara khusus.

Namun, Rasulullah ﷺ tidak menyalahkan sahabat berkenaan kerana mengucapkan suatu lafaz pujian yang belum diajarkan secara khusus kepadanya.

Bahkan, Baginda menyatakan kelebihan lafaz tersebut.

Sekiranya setiap tambahan lafaz pujian yang tidak pernah diajarkan secara khusus oleh Rasulullah ﷺ semestinya terlarang, sudah tentu Baginda akan menjelaskan kesalahannya.

Sebaliknya, hadis ini menunjukkan bahawa terdapat ruang bagi lafaz pujian yang baik dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syariat, dan dalam kes ini keharusannya dipastikan melalui pengiktirafan Rasulullah ﷺ sendiri.

Justeru, diperbolehkan membaca doa dalam bahasa Arab yang dikarang sendiri ketika sujud dalam solat, samada dia memohon hal duniawi atau ukhrawi, meskipun dengan doa yang tidak terdapat dalam al-Qur'an dan hadith, dengan syarat doa tersebut mempunyai makna yang baik, tidak bercanggah dengan syariat dan tidak mengandungi permintaan yang dilarang.

Ketiga: Sayyidina Bilal RA Membiasakan Solat Selepas Berwuduk

Dalam hadith sahih, Rasulullah ﷺ bertanya kepada Sayyidina Bilal RA tentang amalan yang paling beliau harapkan pahalanya kerana Baginda mendengar bunyi langkahnya di hadapan Baginda di dalam syurga.

Sayyidina Bilal RA menjelaskan bahawa setiap kali beliau berwuduk, sama ada pada waktu siang ataupun malam, beliau akan menunaikan solat sebanyak yang Allah takdirkan baginya.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perhatikan bahawa Sayyidina Bilal RA mempunyai kebiasaan ibadah yang dilakukannya secara berterusan.

Rasulullah ﷺ tidak mempersoalkan mengapa Bilal membiasakan solat tersebut.

Sebaliknya, Baginda bertanya tentang amalannya, lalu membiarkan amalan tersebut dalam keadaan diperakui.

Hadith ini menjadi antara sandaran bagi kelebihan solat sunat selepas berwuduk (tahiyyatul wudhu) .

Ketiga-tiga peristiwa ini memperlihatkan satu hakikat penting:

Para sahabat tidak memahami agama dengan menganggap setiap amalan yang belum dilakukan atau diajarkan secara khusus oleh Rasulullah ﷺ sebagai sesuatu yang semestinya dilarang.

4. Mengapa Rasulullah ﷺ Tidak Melarang Mereka Sejak Awal?

Di sinilah timbul suatu persoalan yang lebih mendasar.

Jika benar kaedah agama ialah “tinggalkan segala perkara yang Nabi tinggalkan”, mengapakah Rasulullah ﷺ tidak mengajarkan larangan umum tersebut kepada para sahabat?

Mengapakah Baginda tidak menegur mereka dengan mengatakan:

“Jangan sekali-kali kamu melakukan sesuatu amalan yang aku tidak lakukan.”

Atau:

“Sekiranya sesuatu amalan itu baik, sudah tentu aku terlebih dahulu melakukannya. Oleh itu, jangan kamu mengadakan sesuatu amalan yang belum aku lakukan.”

Atau:

"Bukankah aku adalah pembawa syariat, mengapa kamu mendahului aku dalam melakukan sesuatu amalan?! 

Hakikatnya, tidak terdapat teguran sedemikian dalam peristiwa-peristiwa yang dibincangkan tadi.

Sebaliknya, Rasulullah ﷺ mengiktiraf amalan-amalan berkenaan setelah mengetahui bentuk dan tujuannya.

Hal ini membawa kita kepada suatu persoalan yang berkaitan dengan kedudukan taqrīr Nabi.

5. Memahami Taqrīr Nabi dengan Betul

Mungkin ada pihak yang menjawab:

“Amalan para sahabat itu dibolehkan kerana Rasulullah ﷺ telah mentaqrirkannya. Selepas kewafatan Baginda, tidak boleh lagi diadakan amalan yang tidak pernah Baginda lakukan.”

Jawapan ini mengandungi suatu kebenaran, tetapi belum menyelesaikan persoalan yang sedang dibincangkan.

Memang benar bahawa taqrīr Nabi, iaitu diamnya Rasulullah ﷺ ke atas sesuatu yang diketahuinya atau pengiktirafan Rasulullah ﷺ terhadap sesuatu perkataan atau perbuatan yang diketahui Baginda, merupakan salah satu sumber Sunnah.

Namun, persoalan pokok di sini bukan semata-mata sama ada amalan tersebut akhirnya mendapat taqrīr.

Persoalannya ialah:

Adakah para sahabat telah melakukan sesuatu yang sememangnya terlarang hanya kerana Rasulullah ﷺ belum pernah melakukannya?

Jika prinsip bahawa “setiap perkara yang Nabi tidak lakukan adalah terlarang” benar-benar merupakan hukum umum agama, sudah tentu perbuatan para sahabat tersebut termasuk dalam larangan itu sebelum mendapat taqrīr.

Sedangkan Rasulullah ﷺ, sebagai pembawa dan penyampai syariat, tidak akan membiarkan suatu kesalahan agama tanpa penjelasan apabila penjelasan itu diperlukan.

Oleh itu, peristiwa-peristiwa tersebut menunjukkan bahawa semata-mata sesuatu amalan belum dilakukan oleh Rasulullah ﷺ bukanlah sebab yang mencukupi untuk menghukum amalan itu sebagai salah.

Taqrīr Nabi dalam peristiwa tersebut mengesahkan keharusan atau kelebihan amalan berkenaan. Pada masa yang sama, ia turut membuktikan bahawa tidak wujud suatu larangan menyeluruh terhadap setiap amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda.

Namun, perlu dibezakan antara dua perkara:

Pertama, amalan tertentu yang telah mendapat taqrīr Nabi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Kedua, amalan yang muncul selepas kewafatan Baginda tidak boleh mendakwa mendapat taqrīr yang sama. Sebaliknya, ia perlu dinilai melalui dalil-dalil syariat, kaedah fiqh, qiyas, maslahat dan prinsip-prinsip lain yang diiktiraf.

Dengan demikian, hujah taqrīr tidak boleh digunakan untuk membenarkan segala amalan baharu tanpa batasan. Tetapi ia juga tidak boleh digunakan untuk menafikan hakikat bahawa para sahabat sendiri tidak memahami setiap peninggalan Nabi sebagai suatu larangan.

6. Selepas Kewafatan Rasulullah ﷺ, Para Sahabat Tetap Melakukan Perkara yang Tidak Dilakukan Baginda

Kefahaman ini bukan hanya terbatas kepada peristiwa ketika Rasulullah ﷺ masih hidup.

Selepas kewafatan Baginda, para sahabat terus berijtihad dalam perkara-perkara yang mempunyai sandaran kepada prinsip umum syariat, walaupun bentuk pelaksanaannya tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.

- Pengumpulan al-Quran pada Zaman Sayyidina Abu Bakar RA

Selepas peperangan al-Yamamah, Sayyidina Umar RA mencadangkan supaya al-Quran dihimpunkan dalam satu mushaf kerana bimbang ramai penghafaz al-Quran gugur dalam peperangan.

Pada mulanya, Sayyidina Abu Bakar RA mempersoalkan:

كَيْفَ أَفْعَلُ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ؟

“Bagaimanakah aku hendak melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ?”

Sayyidina Umar RA menjawab:

هُوَ وَاللَّهِ خَيْرٌ

“Demi Allah, sesungguhnya perkara itu adalah suatu kebaikan.”

Akhirnya, Sayyidina Abu Bakar RA menerima cadangan tersebut setelah Allah melapangkan dadanya untuk memahami maslahatnya.

(Riwayat al-Bukhari, no. 4986)

Peristiwa ini amat besar maknanya.

Sayyidina Abu Bakar RA pada mulanya berhati-hati kerana perkara tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ. Namun, setelah meneliti maslahat dan tujuan syariat, beliau menerima pelaksanaannya.

Ini membuktikan bahawa ketiadaan sesuatu perbuatan pada zaman Rasulullah ﷺ tidak semestinya menutup ruang untuk melakukannya selepas kewafatan Baginda.

- Solat Tarawih Berjemaah pada Zaman Sayyidina Umar RA

Rasulullah ﷺ pernah menunaikan solat malam Ramadan secara berjemaah, tetapi Baginda tidak meneruskannya secara tetap kerana bimbang ia diwajibkan ke atas umat Islam.

Pada zaman Sayyidina Umar RA, beliau menghimpunkan umat Islam untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah sebanyak 20 rakaat di belakang imam.

Beliau kemudian berkata:

نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ

“Sebaik-baik perkara baharu ialah ini.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 2010)

Ungkapan ini menunjukkan bahawa sesuatu yang baharu dari sudut bentuk pelaksanaan tidak semestinya tercela apabila mempunyai asas dalam syariat.

Dalam kes tarawih, asal solat berjemaah telah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ, manakala penyusunannya secara berterusan pada zaman Sayyidina Umar RA merupakan langkah yang mengambil kira keadaan umat selepas kewafatan Baginda.

- Penambahan Azan Jumaat pada Zaman Sayyidina Uthman RA

Pada zaman Rasulullah ﷺ, azan Jumaat dilaungkan ketika imam telah duduk di atas mimbar.

Namun, apabila bilangan umat Islam semakin ramai, Sayyidina Uthman RA memperkenalkan satu lagi seruan azan sebelum waktu azan yang biasa dilakukan ketika imam berada di mimbar.

(Riwayat al-Bukhari, no. 912)

Perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan dalam bentuk yang sama pada zaman Rasulullah ﷺ.

Namun, Sayyidina Uthman RA melaksanakannya kerana terdapat keperluan baharu yang menuntut pemberitahuan lebih awal kepada masyarakat.

Ini menunjukkan bahawa para Khulafa' al-Rasyidin tidak memahami Sunnah sebagai larangan mutlak terhadap setiap bentuk pelaksanaan baharu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.

Sebaliknya, mereka memahami syariat melalui tujuan, dalil, maslahat dan batasan-batasan yang telah ditetapkan.

- Amalan al-Ta‘rīf pada Hari Arafah oleh Sayyidina Ibn ‘Abbas dan ‘Amr bin Ḥurayth RA

Antara contoh lain yang menunjukkan bahawa para sahabat melakukan suatu amalan kebaikan yang tidak pernah dilaksanakan secara khusus oleh Rasulullah ﷺ ialah amalan yang dikenali sebagai al-Ta‘rīf (التعريف), iaitu perhimpunan umat Islam di masjid pada hari Arafah untuk berdoa dan berzikir kepada Allah SWT, meskipun mereka tidak berada di Padang Arafah untuk menunaikan ibadah haji.

Dalam riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Bukhari secara ta‘līq dalam Ṣaḥīḥ-nya, disebutkan:

وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَعَمْرُو بْنُ حُرَيْثٍ يَعْمَلَانِ التَّعْرِيفَ فِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya:

“Ibn ‘Abbas dan ‘Amr bin Ḥurayth pernah mengadakan al-Ta‘rīf di masjid.”

Imam al-Qurtubi dalam al-Jāmi‘ li Aḥkām al-Qur’ān, ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah, ayat 198. Beliau menyatakan:

وَلَا بَأْسَ بِالتَّعْرِيفِ فِي الْمَسَاجِدِ يَوْمَ عَرَفَةَ بِغَيْرِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak mengapa mengadakan al-Ta‘rīf di masjid-masjid pada hari Arafah di luar Arafah.”

7. Adakah Setiap Perkara Baharu dalam Agama Dibenarkan?

Di sini perlu ditegaskan bahawa menolak kaedah “semua yang Nabi tinggalkan wajib ditinggalkan” tidak bermaksud membenarkan segala perkara baharu tanpa sebarang batasan.

Syariat Islam mempunyai perkara-perkara yang telah ditentukan bentuk, bilangan, waktu dan tatacaranya.

Contohnya, seseorang tidak boleh menambah bilangan rakaat solat Subuh menjadi tiga rakaat atas alasan mahu memperbanyakkan ibadah.

Begitu juga seseorang tidak boleh mengubah bilangan pusingan tawaf yang telah ditetapkan oleh syariat dengan mendakwa bahawa penambahan tersebut merupakan suatu kebaikan.

Hal ini kerana perkara-perkara tersebut merupakan ibadah khusus yang bersifat tawqīfī, iaitu tertakluk kepada ketetapan syariat.

Namun, tidak semua bentuk kebaikan dan ibadah mempunyai sifat yang sama.

Terdapat amalan yang disyariatkan secara umum, seperti membaca al-Quran, berselawat, berzikir, bersedekah, menyampaikan ilmu, menganjurkan majlis ilmu dan mengajak manusia mencintai Rasulullah ﷺ.

Dalam perkara-perkara seperti ini, bentuk penganjuran, susunan program, kaedah penyampaian dan penggunaan kemudahan baharu boleh berubah mengikut keperluan, selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Walau bagaimanapun, perlu dibezakan antara mengadakan suatu cara untuk melaksanakan kebaikan yang telah disyariatkan dengan mereka suatu ketetapan ibadah khusus lalu menisbahkannya kepada agama tanpa dalil yang mencukupi.

Perbezaan ini penting kerana bukan semua perkara yang kelihatan baik boleh terus dijadikan suatu ibadah khusus dengan fadilat, bilangan atau ketetapan tertentu yang didakwa datang daripada syariat.

8. Mengapa Majlis Nuzul al-Quran, Karnival Sunnah dan Majlis Zikra al-Rasul Tidak Semestinya Bidaah Sesat?

Sebagai contoh, seseorang menganjurkan suatu majlis tahunan yang dinamakan Majlis Sambutan Nuzul al-Quran.

Dalam majlis tersebut diadakan ceramah tafsir, bacaan al-Quran, forum ilmiah dan program pendidikan untuk mendekatkan masyarakat kepada kitab Allah.

Begitu juga seseorang menganjurkan Karnival Ekspo Sunnah selama tiga hari tiga malam, dengan pelbagai pengisian seperti ceramah, pameran sirah, forum, nasyid, kesenian, riadah dan jualan.

Atau sebuah majlis Zikra al-Rasul sempena bulan Rabiulawal yang bertujuan menghidupkan kecintaan terhadap Rasulullah ﷺ melalui pembacaan sirah, selawat, pengajian hadith dan peringatan tentang akhlak Baginda.

Mungkin tidak terdapat hadith khusus yang menyebut nama majlis-majlis tersebut atau menetapkan bentuk penganjurannya.

Namun, ketiadaan hadith khusus tentang nama dan bentuk majlis tersebut tidak dengan sendirinya menjadikannya haram atau bidaah yang sesat.

Hal ini kerana isi kandungannya boleh terdiri daripada amalan-amalan yang sememangnya telah disyariatkan.

Allah SWT berfirman:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan lakukanlah kebaikan agar kamu memperoleh kejayaan.”

(Surah al-Hajj: 77)

Oleh itu, sesuatu majlis yang menghimpunkan amalan-amalan kebaikan boleh dinilai berdasarkan dalil umum, tujuan dan cara pelaksanaannya.

Penganjur boleh mendapat pahala atas usaha mengajak manusia kepada kebaikan, menyebarkan ilmu dan menghidupkan amalan yang disyariatkan.

Dengan kata lain, tidak semua bentuk penganjuran baharu merupakan ibadah baharu yang direka-reka. Ada kalanya ia hanyalah suatu wasilah untuk melaksanakan ibadah dan kebaikan yang sememangnya telah disyariatkan.

9. Hadith Sunnah Hasanah dan Galakan Memulakan Kebaikan

Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya:

“Sesiapa yang memulakan suatu jalan kebaikan dalam Islam, maka baginya pahala amalan tersebut dan pahala orang yang mengamalkannya selepas itu, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala mereka.”

(Riwayat Muslim, no. 1017)

Hadith ini disebut dalam konteks seorang sahabat yang memulakan pemberian sedekah, lalu diikuti oleh orang lain.

Oleh itu, hadith ini tidak bermaksud seseorang bebas mencipta apa sahaja bentuk ibadah khusus.

Sebaliknya, ia menunjukkan kelebihan memulakan atau menghidupkan suatu jalan kebaikan yang mempunyai asas dalam syariat sehingga menjadi ikutan orang lain.

Maka, apabila seseorang menganjurkan majlis ilmu, memperkenalkan kaedah baharu dalam pengajaran al-Quran atau membangunkan suatu program yang menggalakkan masyarakat mengamalkan Sunnah, usaha tersebut boleh termasuk dalam pengertian mengajak dan memulakan jalan kebaikan.

Selagi usaha itu menepati syariat, ia tidak wajar dihukum sesat semata-mata kerana bentuk pelaksanaannya tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah ﷺ.

10. Kekeliruan Apabila Persepsi Dijadikan Neraca Hukum

Antara ungkapan yang sering digunakan untuk mempertikaikan sesuatu amalan ialah:

1. “Kenapa hendak buat sedangkan Nabi tidak buat?”

2. “Kalau tiada hadis khusus, kenapa kita hendak amalkan?”

3. “Kalau perkara itu baik, sudah tentu Nabi dan para sahabat telah melakukannya.”

4. “Bukankah hadis sahih sudah banyak? Mengapa hendak buat perkara lain?”

5. “Bukankah agama telah sempurna? Mengapa perlu ada tokok tambah?”

6. “Adakah kita hendak menjadi lebih baik atau lebih bertakwa daripada Rasulullah ﷺ?”

7. “Kalau Nabi tidak buat, kita pun jangan buat!”

Persoalan-persoalan tersebut boleh menjadi permulaan kepada suatu penyelidikan hukum, tetapi ia bukan dengan sendirinya dalil yang mencukupi untuk menetapkan sesuatu amalan sebagai haram atau sesat.

Kesempurnaan agama Islam tidak bermaksud bahawa setiap bentuk pelaksanaan kebaikan, kaedah pendidikan, susunan majlis dan wasilah dakwah mesti telah dilakukan secara terperinci oleh Rasulullah ﷺ.

Sebaliknya, kesempurnaan syariat juga merangkumi prinsip-prinsip umum yang membolehkan para ulama melakukan ijtihad dalam perkara yang mempunyai ruang untuknya.

Justeru, pertanyaan yang lebih tepat bukan sekadar:

“Adakah Rasulullah ﷺ pernah melakukannya?”

Tetapi:

“Apakah kedudukan amalan ini menurut keseluruhan dalil dan kaedah syariat? Adakah ia mempunyai sandaran umum atau khusus? Adakah terdapat larangan terhadapnya? Adakah ia mengubah ketetapan ibadah yang bersifat tawqīfī?”

Dengan pendekatan inilah sesuatu amalan dinilai secara ilmiah, bukan semata-mata melalui persepsi atau ungkapan yang kedengaran menarik tetapi tidak lengkap dari sudut penghujahan dan prinsip usul fiqh.

Kesimpulan

Daripada keseluruhan perbahasan ini, jelas bahawa terdapat perbezaan yang besar antara perkara yang Rasulullah ﷺ larang dengan perkara yang Baginda tidak lakukan.

Larangan Rasulullah ﷺ wajib dipatuhi menurut petunjuk dan kedudukan hukumnya.

Adapun perkara yang tidak dilakukan oleh Baginda, ia perlu diteliti berdasarkan sebab peninggalannya, sifat amalan tersebut, dalil-dalil lain yang berkaitan serta kaedah penentuan hukum yang diiktiraf oleh para ulama.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum sesuatu amalan sebagai haram atau bidaah sesat hanya kerana Rasulullah ﷺ tidak pernah melakukannya.

Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh menjadikan ketiadaan larangan khusus sebagai alasan untuk mereka-reka suatu ibadah yang bertentangan dengan ketetapan syariat.

Sunnah Rasulullah ﷺ bukan sekadar apa yang Baginda lakukan, bahkan merangkumi perkataan, perbuatan dan pengiktirafan Baginda, serta petunjuk hukum yang difahami daripadanya melalui disiplin ilmu yang benar.

Para sahabat sendiri telah menunjukkan bahawa kecintaan dan kepatuhan kepada Rasulullah ﷺ tidak menafikan ruang melakukan kebaikan yang mempunyai asas dalam syariat.

Oleh itu, janganlah kita menukarkan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah ﷺ menjadi suatu larangan yang tidak pernah Baginda tetapkan.

Jangan pula kita menyempitkan keluasan syariat dengan menjadikan setiap peninggalan Nabi sebagai alasan untuk menghukum amalan orang lain sebagai sesat.

Sesungguhnya, mengikuti Rasulullah ﷺ bukan bermaksud mengharamkan segala perkara yang Baginda tidak lakukan, tetapi memahami dan mematuhi syariat yang Baginda sampaikan dengan ilmu, amanah dan kebijaksanaan.

Agama tidak boleh ditambah dengan perkara yang menyalahi syariat, tetapi agama juga tidak boleh disempitkan dengan larangan yang tidak mempunyai sandaran yang mencukupi daripada syariat.

Wallāhu a‘lam bi al-ṣawāb.

iqbal Zain al-Jauhari 

Sumber FB Ustadz : Iqbal Zain al-Jauhari

© Terima kasih telah membaca Kajian Islam Ahlussunnah wal Jama’ah dengan judul "Apakah Semua yang Nabi Tinggalkan Harus Ditinggalkan? Ini Penjelasan Ulama". Semoga Allah ﷻ senantiasa menganugerahkan ilmu yang bermanfaat, taufiq, dan hidayah kepada kita semua. Aamiin.
#rasulullah #ulama