
‘ARASH LAMBANG KUASA DAN RAHMAT ILAHI: MEMAHAMI ISTIWA' MENURUT ULAMA AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA'AH
Sesungguhnya ‘Arash adalah merupakan singgahsana penzahiran kuasa pentadbiran dan rahmat Ilahi.
Ulama tafsir bernama Imam Ruzbihan al-Baqli dalam tafsirnya berjudul ‘Ara’is al-Bayan fi Haqa’iq al-Qur’an menyatakan bahawa ayat istiwa’ di dalam al-Qur’an sentiasa digandingkan dengan penceritaan Allah mengenai kekuasaan dan pentadbiranNya ke atas sekalian makhluk yang berada di langit dan bumi. Sebagai contoh “al-Raḥmān ‘alā al-‘Arsy istawā” (Surah Taha ayat 5) datang setelah Allah menyebut penciptaan langit dan bumi, sebagai isyarat bahawa istiwā’ merujuk kepada sifat keagungan dan kekuasaan Allah yang azali, yang wujud sebelum, semasa dan selepas penciptaan alam, tanpa perubahan keadaan dan tanpa bergantung kepada makhluk, tempat, arah atau masa
Menurutnya lagi, Istiwā’ bukan bererti duduk bersemayam, bertempat, bergerak atau berarah, kerana Allah suci daripada sifat-sifat makhluk. Ia adalah sifat khusus bagi Allah, yang menggambarkan qahr (keperkasaan), ‘aẓamah (keagungan) dan kibriā’ (kebesaran)-Nya, yang tidak dapat dicapai oleh imaginasi atau ukuran akal. Seluruh makhluk, termasuk ‘Arsy yang paling agung, berada di bawah kekuasaan dan penundukan Allah, bukan Allah berada di atasnya secara berarah.
Para ulama Ahl al-Sunnah menegaskan bahawa hakikat istiwā’ hanya diketahui oleh Allah. Sebahagian ulama menjelaskan istiwā’ sebagai penzahiran kekuasaan dan kesempurnaan tadbir Ilahi, bukan hubungan zat dengan tempat. Allah tidak terkesan oleh alam, dan alam tidak memberi kesan kepada Allah. Bahkan, Allah berkuasa ke atas semua tanpa ada sesuatu yang lebih dekat atau lebih jauh kepada-Nya dari sudut zat.
Beliau juga menjelaskan bahawa ‘Arash ialah medan tajallī (penzahiran) kekuasaan Allah, bukan tempat bagi zat-Nya. Keagungan ‘Arash sendiri tunduk kepada qahr rubūbiyyah Allah, dan ia kekal hanya dengan luṭf (kelembutan dan kerahmatan) Allah. Maka, istiwā’ tidak menunjukkan Allah berhajat kepada ‘Arash, bahkan menzahirkan bahawa ‘Arash dan seluruh alam bergantung sepenuhnya kepada-Nya.
Selain ‘Arash maknawi di langit, para ulama menjelaskan adanya ‘Arash maknawi dalam hati orang mukmin, iaitu hati yang dipenuhi tauhid dan keluasan makrifah. Namun ini bukan hulūl atau ittiḥād, kerana Allah tidak bertempat dalam hati, sebaliknya hati menjadi medan penerimaan tajallī, sedangkan Allah tetap Maha Suci daripada masuk ke dalam makhluk.
Kesimpulannya, ayat istiwā’ menegaskan bahawa Allah:
Maha Tinggi tanpa bertempat
Maha Menguasai tanpa berhajat kepada ‘Arash
Maha Dekat tanpa jarak
Maha Mengetahui tanpa batas
Dan seluruh alam, dari ‘Arash hingga ke bawah tanah, berada dalam lingkungan ilmu, qudrah dan tadbir-Nya yang azali.
(Ruj: Imam Ruzbihan al-Baqli, ‘Ara’is al-Bayan fi Haqa’iq al-Qur’an)
Imam Ahmad al-Zarruq al-Fasi rahimahuLlah ketika menerangkan mengenai ayat “al-Raḥmān ‘alā al-‘Arsy istawā”, beliau menyatakan bahawa maksud ayat ini ialah penzahiran Rahmat-Nya di mana Rahmat-Nyalah yang menzahirkan kewujudan alam. Maka, kesan dari Nama Allah al-Rahman ialah dapat disaksikan bahawa seluruh alam ini diliputi oleh Cahaya Kerahmatan Ilahi. Dengan itu, Rahmat-Nya meliputi sekalian alam pada awal permulaaannya, pengakhirannya dan sentiasa.
(Ruj: Sharh Asma’iLlah al-Husna (Nama al-Rahman), Imam Ahmad al-Zarruq)
Oleh kerana itu, segala pengisytiharaan mengenai Rahmat Allah terdapat pada Arash-Nya, antaranya ialah Allah menggunakan Nama-Nya yang memiliki rahmat yang agung sebagaimana Firman-Nya “al-Rahman bertakhta di atas Arash” sehingga kerana itu dipanggil Arash al-Rahman, berikutnya ialah nama Nabi Muhammad SAW yang merupakan Rahmat Semesta Alam digandingkan dengan Nama Allah Ta’ala di Arash-Nya.
Selanjutnya ialah pengumuman bahawa Rahmat Allah adalah mengatasi Kemurkaan-Nya dan pengumuman ikatan rahim (hubungan kekeluargaan) bahawa barangsiapa yang menghubungkannya, nescaya dia terhubung dengan Rahmat Allah dan barangsiapa yang memutuskannya, nescaya dia terputus dari Rahmat-Nya. Berdasarkan petunjuk-petunjuk ini, maka dapat difahami ayat “al-Rahman istiwa’ di atas Arash” ialah Perbuatan Allah yang mendudukkan Nabi Muhammad SAW sebagai Rahmat li al-‘Alamin didudukkan di atas Arash-Nya.
Imam Abu Bakr al-Khallal al-Hanbali dalam kitabnya berjudul al-Sunnah menyatakan bahawa menurut ulama Salaf, ciri-ciri orang yang terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah ialah kelompok yang menafikan kedudukan Rasulullah SAW didudukkan di atas 'Arash. Perkara tersebut telah disepakati secara talaqqat-hu al-ummah bi al-qabul oleh para ulama Salaf.
Untuk menghubungkan makna istiwa’ al-Rahman kepada kedudukan Nabi Muhammad SAW di atas Arash adalah lebih sesuai dalam penyucian Sifat Allah dari perkara yang tidak layak bagi-Nya. Hal tersebut dinyatakan oleh Mulla Ali Qari dalam Mirqat al-Mafatih (Bab al-Hawḍi wa al-Shafa’ah, no.5596) bahawa maksud hadith yang menyebutkan bahawa Allah Ta’ala turun ke atas Kursi adalah bermaksud kedudukan al-Maqam al-Mahmud yang mana Nabi Muhammad SAW didudukkan di atas Kursi.
Imam Ibnu Battal dalam Sharh Sahih al-Bukhari (j.10, Kitab al-Tawhid wa Radd ‘ala al-Jahmiyah, Bab Qawlihi Ta’ala La Tuharrik bihi Lisanak) ketika mentafsirkan Firman Allah, "Apabila Kami bacakannya (yakni al-Quran) kepadamu, maka ikutilah bacaannya” (al-Qiyamah:18), beliau mengatakan bahawa ayat ini mengandungi penisbahan perbuatan membaca kepada Allah, namun pihak yang membacakan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW adalah Jibril bukan Allah.
Menurut beliau, ini menjadi kaedah penting dalam mentafsirkan setiap nas yang menisbahkan perbuatan yang tidak layak kepada Zat Allah seperti "datang", "turun" dan “kebersamaan” kerana perpindahan, pergerakan dan perubahan adalah sifat yang mustahil bagi Allah.
iqbal Zain al-jauhari
Sumber FB Ustadz : Iqbal Zain al-Jauhari