Allah Tidak Berada di Dalam atau di Luar Alam: Penjelasan Tauhid

Allah Tidak Berada di Dalam atau di Luar Alam: Penjelasan Tauhid

ADAKAH ALLAH BERADA DI LUAR ALAM DAN BERPISAH DARIPADANYA? : SUATU PENJELASAN

Terdapat segelintir pihak yang mendakwa bahawa zat Allah Ta‘ala berada di atas ‘Arasy. Namun tanpa disedari, dakwaan ini sebenarnya mengandungi implikasi yang sangat serius terhadap kefahaman tauhid, kerana ia secara tidak langsung meletakkan batasan terhadap Zat Allah Ta‘ala.

Hal ini demikian kerana untuk menisbahkan sesuatu sebagai “di atas” atau “di bawah”, ia mestilah terlebih dahulu tertakluk kepada konsep had, arah dan kedudukan. Sesuatu yang boleh dikatakan berada di atas atau di bawah, secara pasti telah ditentukan ruang dan posisinya. Sedangkan meletakkan had dan batasan pada Zat Allah Ta‘ala adalah sesuatu yang mustahil, kerana Allah, DiriNya tidak ada batasan dan Dia wujud tanpa bergantung kepada ruang, tempat dan arah.

Sebahagian pihak cuba mempertahankan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa ‘Arasy merupakan penghujung alam, dan bahawa apa yang berada “di atas ‘Arasy” adalah tidak berjihah (berarah). Justeru, dakwa mereka, menyatakan Allah berada di atas ‘Arasy atau di atas langit yang tujuh tidak membawa kepada penetapan arah atau tempat.

Namun hujah ini hakikatnya mengandungi kekeliruan yang nyata. Ini kerana sebaik sahaja dikatakan Allah berada di atas ‘Arasy secara zat, walaupun dengan alasan bahawa ia “tanpa arah”, hakikatnya konsep arah dan puncur telah pun ditetapkan. Istilah “di atas” itu sendiri merupakan istilah yang hanya boleh difahami dalam kerangka arah dan kedudukan. Maka dakwaan tersebut tidak terlepas daripada menetapkan jihah (arah) bagi Allah Ta‘ala, walaupun ia cuba dinafikan secara lafaz.

Lebih-lebih lagi, menyatakan bahawa ‘Arasy adalah penghujung alam dan bahawa Allah berada di luar atau di atasnya secara zat, bermakna Allah difahami sebagai berada di luar alam dengan makna ruang, sedangkan ruang itu sendiri adalah makhluk. Ini membawa kepada implikasi bahawa kewujudan Allah berkait dengan makhluk, sedangkan aqidah Ahl al-Sunnah menegaskan bahawa Allah Ta‘ala wujud sebelum penciptaan alam, dan Dia sekarang sebagaimana Dia sebelum alam diciptakan, tanpa berubah dan tanpa memerlukan tempat.

Hakikatnya, zat Allah Ta‘ala wujud tanpa batasan, tanpa arah, tanpa tempat, dan tanpa terikat dengan konsep “di dalam” atau “di luar” alam. Sebarang usaha untuk menentukan keberadaan Allah secara zat dengan istilah-istilah seperti “berada di atas”, atau “di luar”, walau dengan apa jua justifikasi, tetap membawa kepada tasybih dan taqyid yang bercanggah dengan prinsip tauhid yang murni.

 Antara faktor dakwaan yang sesat seperti ini muncul adalah kerana tidak mempelajari ilmu secara bersanad sehingga kelompok tersebut tidak mewarisi kefahaman yang sahih dalam aqidah yang benar mengenai Zat Allah.

Lalu dengan kepincangan itu, kelompok tersebut dengan mudah menghukum sesat orang Islam yang berpegang bahawa Allah tidak di dalam alam dan tidak pula di luarnya, sehingga menuduh bahawa kenyataan tersebut ilmu falsafah yang membawa makna Allah itu tidak wujud. Sedangkan jika sifir persamaan dijadikan ukuran kebenaran atau kebatilan, maka tanpa mereka sedari bahawa kefahaman Tuhan berada di luar alam adalah merupakan pegangan Aristotle dalam bukunya, Metaphysics (Book XII, Lambda). 

 Sampaikan Imam al-Tabari pernah dituduh sesat oleh segelintir pihak tersebut hanya kerana beliau menyatakan keterangan yang sahih menurut ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dalam kitab Tafsir beliau. Kelompok ini menyangka bahawa ketika alam diciptakan maka alam berada di luar Allah dan Allah berada di luar alam. Betapa kelirunya kefahaman songsang seumpama ini.

La hawla wa la quwwata illa biLlah. Sesungguhnya kenyataan “Allah tidak di dalam alam dan tidak di luarnya” adalah pegangan aqidah yang terkandung dalam iktiqad Ahli Sunnah wal Jama’ah iaitu "mukhalafatuhu lil hawadith", yang ianya bersandar kepada ayat di dalam Surah al-Ikhlas yang kefahamannya diwarisi sejak zaman salaf al-salihin sehinggalah saat ini dari kalangan majoriti umat Islam yang berada di atas aliran Asha’irah dan Maturidiyah. Tiada ulama muktabar yang menafikan kenyataan tersebut kecuali mereka yang benar-benar telah terkeluar dari jalan Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Apa yang disebutkan oleh Imam al-Tabari hakikatnya adalah bersandar kepada makna yang terkandung pada nama Allah al-Samad. Kefahaman Imam al-Tabari tersebut adalah terbina dari apa yang beliau warisi dari para Salaf sebelum beliau. 

Dalam kitab Tafsir beliau dalam Surah al-Ikhlas, Imam al-Tabari telah mengetengahkan riwayat dari Sayyidina Ubayy bin Ka’ab, Imam Hasan al-Basri dan Imam Ikrimah bahawa maksud al-Samad ialah: 

لا يخرج منه شيء

Tiada sesuatu apapun yang terkeluar dari Allah

(Rujukan: al-Tabrani, Tafsir al-Tabari, Kitab al-Sunnah li Ibni Abi Asim, al-‘Azamah li Abi Shaykh, al-Tawhid li Ibni Mandah, Asma’ wa al-Sifat li al-Bayhaqi, Tafsir Ibni Kathir, Tafsir Ibni Rajab al-Hanbali , al-Durr al-Manthur li al-Suyuti) 

Kenyataan di atas menunjukkan bahawa mustahil ada sesuatu yang keluar dari Allah dan sekaligus menafikan ada sesuatu yang berada di luar Allah kerana jika di andaikan ada sesuatu di luar Allah sekalipun, pasti ia tetap datang dari Kuasa Allah bukan datang dari selain Allah. Perlu difahami dengan baik bahawa Sifat Allah seperti Kuasa dan Ilmu adalah tidak terpisah dari Zat Allah, sebaliknya ia terdapat pada ZatNya. 

Kenyataan di atas telah dipersetujui oleh ramai ulama sepanjang zaman sejak era Salaf dan itulah yang membentuk kefahaman Imam al-Tabari dengan kenyataannya yang menyebut:

ومن لا يجوز عليه الاجتماع والافتراق وهو الواحد القادر الجامع بين المختلفات الذي لا يشبهه شيء

Maksud: "Dan Dia (Allah) tidak boleh disifati dengan sifat berkumpul (al-ijtimâ') dan juga tidak boleh disifati dengan sifat berpisah (al-iftiraq); Dialah yang maha Esa; tidak menyerupai suatu apapun, Dialah yang maha kuasa, Dialah yang menghimpun dari segala benda yang bercanggahan". (Tarikh al-Tabari, 1/25).

Selanjutnya beliau mengemukakan alasan kepada hal tersebut iaitu:

ما لم يخل من الحدَث لا شك أنه مُحدَثٌ

Maksud: "Sesuatu yang tidak terlepas dari ciri-ciri kebaharuan (kemakhlukkan) maka ia adalah baharu". (Tarikh al-Tabari, 1/25).

Ciptaan tidak berada di luar Allah kerana ia melazimkan Allah berada di luar sesuatu dan itu adalah mustahil bagi Zat Ilahi. Demikian juga, ciptaan tidak berada di dalam Allah kerana secara otomatik menjadikan Allah diluar sesuatu dan itu adalah mustahil.  Semua itu mustahil kerana menetapkan had batasan bagiNya untuk ditentukan luar-dalam bagi ZatNya. 

 

Sayyidina Ibnu Abbas ketika menafsirkan Surah al-Ikhlas menyatakan bahawa:

لم يلد فيخرج منه الولد ولم يولد فيخرج من شيء

Makna "Lam yalid" (tidak melahirkan) ialah tiada suatu apapun yang terkeluar dariNya dan makna "Wa lam yulad" (tidak dilahirkan) ialah Allah tidak pernah berada dalam sesuatu sehingga Allah terkeluar daripadanya.

(Rujukan: Tafsir Ibnu Abi Hatim, Tafsir Ibni Rajab al-Hanbali)

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Tafsirnya menjelaskan bahawa penciptaan alam berlaku tanpa alam pernah berpisah dari Zat Allah (لم ينفصل منه شيء). Hal tersebut hendaklah disucikan dari Zat Allah kerana hal tersebut adalah termasuk dalam perbuatan mencela Allah dan menafikan keesaan Allah.

Beliau menegaskan lagi bahawa seseorang yang beranggapan bahawa alam ini terkeluar dari Allah saat ia diciptakan bermakna alam telah terzahir lahir dari Allah sedangkan ia adalah sifat yang mustahil bagi Allah (والرب تعالى صمد فيمتنع أن يخرج منه شيء) dan telah menyamakan Allah dengan makhluk kerana kefahaman tersebut bercanggah dengan ayat Lam yalid (tidak melahirkan) dan ayat Wa lam yakun lahu kufuwan ahad (tiada bagiNya kesamaan dengan siapapun). 

Sayyidina Ibnu Mas’ud dan Sayyidina Abu Hurayrah menyatakan bahawa makna lain bagi nama Allah al-Samad ialah:

لا جوف له 

Tiada rongga pada Allah

(Rujukan Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibni Abi Hatim, Tafsir Ibni Rajab al-Hanbali)

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa maksud ayat di atas ialah tiada seorang makhluk pun yang berada di dalam Allah sehingga ada sesuatu yang terkandung di dalam Zat Allah. Tiada suatu apapun yang terisi dalam Zat Allah kerana Allah bukan Zat yang berongga atau ada ruang di dalam DiriNya.

Keesaan Allah hendaklah difahami secara jelas bahawa tiada sesuatu apapun yang berada diluar Allah dan tiada suatu apapun yang berada di dalam Allah. Beliau menjelaskan lagi bahawa kefahaman yang terkandung dalam nama Allah al-Samad adalah Keesaan Ilahi bersama seluruh makhluk yang berhajat kepadaNya.

Nama Allah al-Samad menjelaskan hubungan alam berserta segala kepelbagaiannya dengan Keesaan Ilahi. Untuk memahami hubungan itu dengan lebih lanjut, Sayyidina Buraydah al-Aslami menerangkan makna lain bagi al-Samad iaitu nur yang memancar sinarannya (الصمد نور يتلألأ). (Rujukan: Ibnu Abi Hatim, al-Bayhaqi dan al-Tabrani). Hal tersebut adalah selari dengan Ayat Nur pada Surah al-Nur ayat 35.

Imam Ibnu Jawzi dalam Daf’u Shubah al-Tashbih (ms. 130) berkata :

وكذا ينبغي أن يقال ليس بداخل في العالم وليس بخارج منه لأن الدخول والخروج من لوازم المتحيزات

“Hendaklah ditetapkan bahwa Allah tidak berada di dalam alam dan juga tidak berada di luarnya kerana keberadaan sama ada di dalam atau di luar, kedua-duanya melazimkan batasan-batasan ruang bagi Allah”. 

Imam Ahmad Ibnu Hamdan al-Hanbali (695H/1296M) dalam Nihayah al-Mubtadi’in fi Usul al-Din berkata:

 "Allah bersifat Maha Tinggi tanpa tempat dan tanpa had kerana Dia telah wujud tanpa tempat, kemudian Dia mencipta tempat dan Dia kekal tidak bertempat sebagaimana sebelum tempat diciptakan”.

Tidak benar tuduhan yang mengatakan bahawa ulama Asha’irah-Maturidiyah berpegang bahawa Allah itu adalah alam, kerana definisi" alam" menurut ulama muktabar Asha’irah-Maturidiyah ialah "segala sesuatu selain Allah", ia merangkumi tempat, ruang, masa, unsur kasar, unsur halus, dimensi, arah, jisim dan jirim. Allah adalah Pencipta kepada segalanya itu dan kewujudan Allah tidak berhajat kepada semua itu. Kewujudan Zat Ilahi adalah Maha Suci dan bebas dari terikat dengan fenomena dan sistem alam tersebut yang merupakan ciri-ciri makhluk.

Bahkan Dia wujud sebagaimana wujud-Nya yang azali, tidak berubah sebelum dan selepas penciptaan alam.

Penutup

Berdasarkan seluruh penjelasan di atas, maka telah benar pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah bahawa “Allah tidak di dalam alam dan tidak di luarnya”. Sepanjang sejarah keilmuan Islam, tidak ada seorang pun ulama muktabar yang menafikan kenyataan tersebut melainkan kelompok terpencil yang baru muncul akhir-akhir ini akibat tidak mengambil ilmu dari guru berotoriti lagi benar yang membawa kefahaman sahih secara bersanad sehingga menyebabkan perkara asas dalam aqidah pun kelompok terpencil tersebut telah tersasar dari iktiqad yang lurus.

 Benarlah sabda RasuluLLah SAW:

“Akan muncul di akhir zaman sekelompok anak-anak muda belia yang cetek akalnya, mereka memetik sabdaan sebaik-baik manusia, mereka membaca al-Qur’an NAMUN tidak sampai ke kerongkongannya.” (Sahih Muslim)

Maha suci Allah yang menciptakan segala-galanya tanpa terkeluar dariNya satu apapun, tanpa ada sesuatu terpisah di luar Allah, dan tanpa rongga bagi ZatNya sehingga ada sesuatu berada di dalam Allah, tiada batasan pada ZatNya dan Dia bukan berjisim-jirim sehingga dapat ditentukan luar dan dalam bagi keberadaan ZatNya. Allah tidak bercantum dan tidak berpisah dengan alam. Allah tidak bersebati dengan alam dan tidak bercerai tanggal daripadanya.

Inilah peganganku dalam aqidah, yang merupakan pegangan guru-guruku dan sekalian ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang haq. 

Semoga bermanfaat. 

iqbal Zain al-Jauhari 

Sumber FB Ustadz : Iqbal Zain al-Jauhari

© Terima kasih telah membaca Kajian Islam Ahlussunnah wal Jama’ah dengan judul "Allah Tidak Berada di Dalam atau di Luar Alam: Penjelasan Tauhid". Semoga Allah ﷻ senantiasa menganugerahkan ilmu yang bermanfaat, taufiq, dan hidayah kepada kita semua. Aamiin.

Kajian Islam Favorit

Cari Kajian Islam